Tuesday, June 17, 2014

PENYAKIT YANG BERBAHAYA DALAM JIWA MANUSIA





Sahabat-sahabat, pernah tak dengar pasal wabak SARS? atau denggi? atau H1N1??


Pengalaman ana sendiri, sewaktu berada di bangku sekolah dulu, pernah suatu ketika beberapa orang pelajar dari sekolah ana di jangkiti wabak H1N1. Ana masih ingat lagi, pengumuman daripada unit siaraya ketika itu menggemparkan seluruh warga SEMAI..

Sekolah ditutup!
Tiada interaksi selama seminggu..

Paling tidak dijangka, jadual pulang bermalam di rumah yang sepatutnya berkuatkuasa hujung minggu tersebut dibatalkan dan semua pelajar putera dan puteri tidak dibenarkan keluar dari kawasan sekolah. Seminggu tempoh kuarantin, jadual asrama seolah-olah digubal kembali, daripada menu dewan makan, sehinggalah khidmat perubatan yang disediakan. Lebih malang lagi, tidak ada pelawat yang dibenarkan memasuki kawasan sekolah, semua ini demi membersihkan kawasan sekolah kami daripada wabak tersebut.

Bila diingat dan direnung kembali, nampaknya macam dahsyat sangat wabak ni. Masa tu, bilik rawatan umpama kawasan hitam yang sangat digeruni oleh pelajar. Di dalamnya terlantar beberapa orang pelajar yang disahkan oleh doktor dijangkiti wabak ini, cubalah dekat jika hendak terkena sama.

 




Tapi, sebenarnya, tanpa kita sedari, ada penyakit yang jauh lebih dahsyat daripada wabak-wabak berbahaya seperti ini, bahkan, penyakit tersebut sudah lama menular dalam diri manusia, sama ada sedar, mahupun tidak. Sabda Rasulullah SAW:


Penyakit umat sebelum kamu telah menular kepada kamu; iaitu hasad dengki dan permusuhan. Permusuhan tersebut umpama pengikis dan pencukur. Aku tidak maksudkan ia mencukur rambut, tetapi ia mengikis agama (HR- Al-Baihaqi)


KISAH HABIL DAN QABIL

Kisah Habil dan Qabil seingat ana sudah lama menjadi 'cerita wajib hafal' disekolah rendah. Bahkan, ana yang duduk membesar dalam suasana pembelajaran yang serba dhaif di pedalaman Sabah sekalipun, dikisahkan mengenai kisah pembunuhan pertama dalam sejarah manusia ini. Namun, supaya kita merenung kembali, maka di sini, ana ceritakan kembali kisah yang masyhur ini: 

Kisah ini bermula, ketika Nabi Adam turun ke dunia. Disana Nabi Adam mula mencari makanan dan tempat tinggal. Sehinggalah baginda terjumpa kembali Hawa. Hawa melahirkan kembar dua pasang.Pertama lahirlah pasangan Qabil danadik perempuannya yang diberi nama "Iqlima",kemudian menyusul pasangan kembar kedua Habil dan adik perempuannya yang diberi nama "Labuda".

Apabila keempat-empat putera dan puteri pasangan ini mula mencapai tahap dewasa, Allah telah memberikan Nabi Adam ilham dan petunjuk agar kedua puteranya dikahwinkan dengan kedua puterinya.Qabil di kahwinkan dengan adik Habil yangbernama Labuda dan Habil di kahwinkan dengan adik Qabil yang bernama Iqlima.

Cara yang telah diilhamkan oleh Allah itu segera baginda sampaikan kepada kedua puteranya.Akan tetapi, tanpa diduga keputusan itu telah ditolak oleh Qabil dengan menyatakan bahawa dia tidak mahu mengahwini Labuda,adik Habil dengan alasan bahawa Labuda tidak secantik adiknya Iqlima.Dia berpendapat bahawa dia lebih patut mengahwini adiknya sendiri Iqlima sebagai isteri dan tidak rela menyerahkannya untuk dikahwini oleh Habil.

Demi menjaga keutuhan keluarganya, Nabi Adam dengan pasrah menyerahkan masalah tersebut kepada Tuhan untuk menentukannya.Akhirnya, Allah SWT yang Maha Adil telah mengilhamkan baginda agar menyuruh kedua-dua orang putera baginda untuk menyerahkan qurban kepada Allah, barang siapa yang di terima korbannya, maka dia berhak untuk menentukan siapa pasangannya. 

Maka, pada hari yang ditetapkan, dengan di saksikan seluruh anggota keluarga Nabi Adam, Qabil dan Habil mempersembahkan qurban masing-masing di atas bukit. Qabil mempersembahkan hasil pertaniannya dari gandum yang busuk dan tidak bermutu, sementara Habil mempersembahkan seekor kambing terbaik dan yang paling disayanginya.Dengan hati berdebar-debar, mereka semua menyaksikan apa yang bakal berlaku dari jauh. tak lama kemudian, kelihatan api besar menyambar kambing persembahan Habil, demikianlah korban yang dipersembahkan Habil diterima oleh Allah SWT. Akhirnya, berlangsunglah perkawinan Qabil dengan Labuda, dan Habil dengan Iqlima dalam keadaan Qabil tidak dapat menerima kenyataan tersebut.

Kisah ini berakhir dengan peristiwa tragis pembunuhan Habil oleh Qabil, sebagaimana telah diceritakan dalam Al-Quran:

“Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dan salah seorang dan mereka (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): “Aku pasti membunuhmu!” “Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian ‘alam.” “Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan (membawa) dosa (membunuh) ku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka, dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim. Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnyalah, maka jadilah ia seorang di antara orang-orang yang merugi.” [Al-Ma’idah, 5:27-30]


Kisah yang termaktub di dalam Al-Quran ini mempunyai pelbagai pengajaran yang perlu dikaji, dan diambil iktibar oleh umat islam pada hari ini. Namun, untuk post kali ini ana ingin berfokus kepada betapa buruknya sifat hasad dengki yang ditunjukkan melalui kisah ini, yang sebenarnya dimulakan daripada iblis Laknatullah ketika ia enggan tunduk sujud kepada Nabi Adam As.


MUKMIN YANG DENGKI; ANCAMAN BUAT PENDA'IE

Penyakit hasad ini sebenarnya jauh lebih berbahaya daripada wabak SARS, HIV Aids, dan H1N1 yang ana ceritakan dipermulaan post tadi kerana hasad dengki bukan sahaja mampu membuatkan seseorang bertindak di luar akal yang waras, bahkan sanggup menggadaikan Agama Allah.

Dalam Al-Quran, Allah SWT telah menetapkan para pejuang dijalan Allah, agar sentiasa menjadi penguat antara satu sama lain dalam tugas menjaga dan membela agama Allah. Firman Allah SWT:


”Dan tolong menolonglah kamu dalam kebaikan dan takwa janganlah kamu tolong menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah: 2)


Namun, apa yang berlaku, para penda'ie yang menyeru manusia ke jalan Allah, khususnya yang mendapat sambutan yang baik, yang cergas, mashur dan berbakat sentiasa terdedah kepada cacian dan tohmahan orang-orang yang hasad dan dengki pada ilmu dan kelebihan-kelebihan lain yang dimiliki pendai'e. Golongan ini, walaupun ada yang mengetahui prinsip tolong-menolong dalam menegakkan agama Allah, sanggup mengenepikan perintah Allah semata-mata demi mencapai matlamat keduniaan yang bersifat sementara. Mereka ini sentiasa mengintai dan menunggu-nunggu masa yang baik untuik menjatuhkan imej penda'ie, walaupun pada hakikatnya, setiap mukmin itu adalah saudara kepada mukmin lainnya.







FAKTOR YANG MENYEBABKAN HASAD DENGKI


Al-Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali r.a menjelaskan ada beberapa perkara yang menyebabkan hasad dengki dalam kitabnya yang masyhur: Ihya' 'Ulumuddin,


1. Perasaan Permusuhan & Kebencian

Perasaan ini jika ada didalam hati seseorang, akan membawa kepada perasaan hasad kepada insan yang dibencinya, lebih-lebih lagi apabila insan tersebut memiliki bakat serta keistimewaan yang tidak dimiliki olehnya. Justeru perasaan inilah yang mendorongnya untuk menjatuhkan insan tersebut, demi memuaskan hatinya.

2. Merasa Diri Mulia

Perkara ini terjadi apabila timbul rasa tidak senang hati melihat ada orang lain yang mengatasi dirinya. Orang yang memiliki sikap ini sentiasa ingin terkehadapan dalam apa jua bidang, pada masa yang sama cuba menjatuhkan orang lain yang dianggapnya sebagai pesaingnya dengan apa cara jua, sekalipun bertentangan dengan hukum Allah.

3. Takabur

Jelasnya seseorang yang memiliki sifat ini memiliki watak membesarkan diri dihadapan orang lain, seringkali memperkecilkan dan memperhambakan orang lain. Apabila orang lain memperoleh suatu kurnia, dia bimbang dirinya tidak lagi diberikan perhatian, hilang pengaruh, atau perkataannya tidak lagi didengari oleh orang lain.

4. 'Ujub

Ujub bermaksud rasa takjub terhadap diri sendiri. Perkara ini justeru telah menghalang mereka menerima kebenaran. Banyak kisah diceritakan di dalam Al-Quran tentang bagaimana manusia-manusia yang bersifat 'ujub ini merasa hairan melihat ada insan pilihan yang diangkat menjadi rasul dan martabatnya dekat dengan Allah SWT, sehingga menjadi penyebab muncul perasaan hasad dengki dalam jiwa mereka. 


5. Takut terlepas Sesuatu tujuan &; habuan

Biasanya perasaan ini wujud dalam kalangan orang yang saling berlumba-lumba merebut sesuatu habuan, masing-masing akan merasa dengki kepada saingannya apabila saingannya mendapat sesuatu kelebihan yang boleh membantu dirinya mendapatkan habuan yang menjadi tujuan utama mereka tadi

6. Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti

Ghairah terhadap pujian manusia, pangkat dan nama yang diberikan mendorong dan menguasai diri, apabila ada orang lain yang mendapat nama dan menandinginya, perkara ini akan membuatkan dia bersusah hati, dan mengharapkan dan berusaha agar sesuatu yang buruk menimpa tandingannya tadi supaya tidak ada yang dapat menandinginya

7. Busuk Hati

Sikap busuk hati ini mendorong manusia supaya berasa tidak suka akan sesuatu kebaikan diperoleh oleh hamba Allah yang lain; apabila disebutkan fulan bin fulan mendapat nikmat kurniaan Allah, hatinya menjadi sempit, dan tidak senang. Akan tetapi, apabila dikhabarkan bahawa fulan bin fulan ditimpa kesusahan, maka dia berasa gembira dan suka.



BAGAIMANA KITA MENGHADAPI PENDENGKI?



1.Dalam Al-Quran, Allah menganjurkan pendai'e agar berdoa supaya dijauhkan daripada manusia-manusia pendengki:


1. Katakanlah (Wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan Yang menciptakan sekalian makhluk,2. "Dari bencana makhluk-makhluk Yang ia ciptakan;3. "Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk;4. "Dan dari kejahatan makhluk-makhluk Yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);5. "Dan dari kejahatan orang Yang dengki apabila ia melakukan dengkinya".(Al-Falaq: 1-5)


2. Selaras dengan kaedah akhlak islami dan contoh yang ditunjukkan oleh para nabi dan salafussoleh, para pendai'e perlu berhati-hati dengan golongan pendengki, menjauhkan diri dari golongan pengumpat, mengelakkan pergaulan dengan mereka atau mendengar kata-kata mereka dengan tujuan semoga mereka menginsafi perbuatan mereka


3. Islam juga mewajibkan seorang muslim mempertahankan nama baik saudaranya, kerana sabda Rasulullah SAW:

“Perumpamaan orang-orang beriman dalam hal saling mencintai, saling mengasihi dan saling menyayangi adalah seperti satu tubuh. Apabila ada sebahagian dari tubuhnya sedang sakit, maka bahagian tubuh yang lain turut merasakannya, sehingga membuatnya tidak boleh tidur dan demam”. (HR_Muslim)


4. Seseorang pendai'e itu hendaklah sentiasa bersabar dan mendekatkan diri kepada Allah, dan perlu menguasai dirinya dari perasaan marah, dan rasa ingin membalas perbuatan khianat para pendengki dengan pelbagai helah yang didorong oleh hasutan syaitan dan nafsu.


5. Penda'ie perlulah berakhlak dengan akhlak islam sehingga wujud perasaan kasih dalam diri orang lain yang seterusnya menimbulkan ikatan ukhwah menyebabkan insan lain tidak sanggup menyakitinya apatah lagi memburuk-burukkannya


KESIMPULAN


Alhamdulillah, akhirnya perkongsian ilmiah ini dapat sampai kepada penghujungnya. Semoga perkongsian secara ringkas ini dapat menjauhkan diri kita daripada sifat hasad dengki yang boleh membuatkan manusia tercampak jauh daripada landasan jalan yang lurus lagi benar.Ingatlah, perasaan hasad itu mengikis agama seperti pencukur yang mencukur rambut.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


Riba' itu ada 72 pintu, yang paling kecil dosanya ialah seperti melakukan hubungan jenis dengan ibu sendiri, dan sebesar-besar riba' ialah seseorang itu menghakis nama baik saudaranya.

(HR_At-Tabrani)


Oleh itu, marilah sama-sama kita mencegah penyakit hasad dengki ini agar tidak menular dan merosakkan hati-hati kita. Jika kita mampu mencegah wabak-wabak penyakit seperti H1N1 dengan pelbagai langkah dan kaedah, maka tidak perlu wujud alasan untuk tidak mencegah penyakit hasad dengki yang boleh mencampakkan kita ke dalam api neraka. Nauzubillah..















No comments:

Post a Comment