Friday, November 8, 2013

ERTINYA SEHELAI TUDUNG LABUH


"Alah... kau tak payah nak berlagaklah... pakai tudung panjang-panjang..Macam bagus je. Perangai teruk jugak"

"Kau ni ustazah ye? apasal pakai tudung labuh ni? setahu aku kau SPM pun tak habis lagi"

Itulah antara kata-kata yang dilemparkan kepada muslimah bertudung labuh. Beberapa sahabat datang bertemu ana berkongsi masalah yang sama,

"Betul akak, diorang kata saya kolot, tak glamour, sebab pakai tudung bulat, tudung yang besar-besar..."

Ana senyum pahit menggelengkan kepala. Faham dengan situasi mereka ini. "Sabarlah dik, orang beriman memang tak lekang ujian". Kata ana menenangkan mereka.

Kadang-kadang kita ini muslimah kalah juga dengan situasi. Kalah dengan cakap-cakap orang. Kerana di kata pelik, kolot, maka kita ubah penampilan kita seenak kemahuan orang. Begitulah, dunia sekarang sudah semakin terbalik. Syariat dibelakangkan hanya kerana ingin mengikut trend masakini.


PAKAI TUDUNG LABUH TERPAKSA

Ana pernah bersekolah di sebuah SMKA. Biah di SMKA cukup yang menitik beratkan pemakaian menutup aurat dengan stokin dan tudung labuh serta kehidupan berteraskan Islam sememangnya cukup cantik seandainya dapat dikembangkan mencakupi keseluruhan masyarakat Islam di Malaysia. Sejuk mata memandang remaja-remaja Islam mengenakan pakaian menutup aurat, memakmurkan masjid dan membaca Al-Quran pada setiap pagi sebelum memulakan sesi PnP di kelas. Itulah kelebihan SMKA.

Namun, biah itu sekadar di dalam kawasan sekolah. Keluar sahaja pagar sekolah, maka ramailah pelajar-pelajar yang mengenakan pakaian sendat, bertudung nipis. Usai menghabiskan 5 tahun pengajian di SMKA, ana lebih terkejut apabila sesetengah daripada kenalan-kenalan sudah 'terbang' tudungnya. Astaghfirullah... dimanakah silapnya sistem pendidikan? di manakah pincangnya sehingga pelajar-pelajar muslimah yang dulunya bertudung labuh kini seolah-oleh tidak tahu hukum dan batas-batas aurat?

"Hidayah itu milik Allah..." kata seorang naqibah menjelaskan kepada ana. "Ingat tak sirah nabi kita? Dulu rasulullah pun tak jemu-jemu mengajak bapa saudaranya Abu Talib supaya memeluk islam, tapi Allah tak izinkan"... katanya lagi. "Yang penting, tanyalah diri sendiri, sebagai da'ie, sejauh mana usaha kita untuk membumikan syariat Islam, termasuklah perintah menutup aurat yang jelas-jelas disebut dalam Al-Quran".. 


HAKIKAT TUDUNG LABUH

Mungkin bukan cuma tudung labuh, malahan stokin, sarung lengan dan pakaian yang labuh-labuh juga termasuk dalam kategori ini.

Wahai muslimah, bukanlah menutup aurat itu kolot mahupun ketinggalan zaman, bahkan pakaian sebeginilah yang patut dijadikan trend sepanjang zaman. Firman Allah dalam Al-Quran:


“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab: 59)

Sebenarnya, Allah SWT telah lebih dahulu mereka fesyen yang paling selamat, yang tidak memudharatkan para muslimah. Sesungguhnya, pemakaian menutup aurat, tudung labuh, stokin dan sebagainya tidak semestinya terhad hanya kepada ustazah-ustazah, kerana ianya batas-batas syariat yang sepatutnya di jaga oleh setiap yang bergelar muslimah, lebih tepat lagi yang beragama Islam. 


Sabda Rasulullah SAW:

“Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tiada menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak boleh masuk syurga, bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh).” (Hadits riwayat Muslim)

Buat ukhti kecintaan Allah yang masih belum menutup aurat dengan sempurna, beringatlah, Rasulullah menceritakan pengalaman baginda di dalam hadisnya ini kerana sangat kasih kepada ummatnya. Pesanan baginda itu masih dapat kita baca sehingga ke hari ini. Usah sia-siakan khazanah tinggalan Rasulullah semata-mata tunduk mengikut trend terkini hasil rekaan manusia tanpa berpandukan ilmu agama.

Menutup aurat bukan semestinya perlu tunggu agar menjadi baik bak malaikat dahulu.Untuk menjadi muslim sejati, memperbaiki diri adalah suatu proses yang panjang dan memerlukan pengorbanan, kerana syurga itu cukup mahal harganya. Apa yang pasti, kita bukannya insan maksum, bahkan kita hanyalah manusia lemah yang tidak pernah lari dari melakukan kesilapan, Maka, perkataan 'tunjuk alim' atau 'bajet baik' kerana memakai tudung labuh dan baju besar-besar itu sebenarnya tidak relevan lagi. Yang ada hanyalah sebuah pengorbanan, demi mencari keredhaan Allah.


Ertinya sehelai tudung labuh kerana akur pada syariat,
Ertinya sehelai tudung labuh kerana takut api neraka,
Ertinya sehelai tudung labuh kerana ingin melindungi diri...

Bukan hanya kerana terpaksa,
Kerana KasihNya aku turutkan



So, are you ready? Jom, ubah!



DENGAN NAMA ALLAH






Alhamdulillah.. thummalhamdulillah....


Setelah sekian lama tidak kembali lagi menulis, akhirnya Allah memberikan kekuatan semula untuk ana berkongsi apa adanya bersama para sahabat sekalian.


Dengan namaNya yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,


Ana mulakan penulisan ini. Semoga segala perkongsian ini mampu menambahkan ilmu dan mempertautkan ukhuwwah sesama kita.





“Ya Tuhan, lapangkanlah dadaku, mudahkanlah segala urusanku, dan lepaskanlah kekakuan lidahku, agar mereka mengerti perkataanku.” (Surah. Thâha: 27)